MENU

ydp azmi

Oleh Aminudin Ismail

Majlis Daerah Setiu (MDS) akan membina lebih banyak lot kedai yang bertaraf kios bagi membantu peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka di daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mat Azmi Arshad berkata, permintaan untuk menyewa lot kedai itu amat mengalakan kerana sewa yang dikenakan murah dan berpatutan.

"Kita akan tumpukan kepada pembinaan lot kedai yang bersaiz kecil seperti kios kerana selain kosnya yang tidak tinggi ia juga mampu memberi peluang kepada peniaga kecil untuk berniaga di beberapa tempat yang strategik.

"Paling terbaru kita akan membina beberapa gerai (kios) di Perhentian Bas Bandar Permaisuri sebagai tambahan gerai yang sedia ada dan selepas ini kita akan membina lebih banyak lagi kedai-kedai kecil untuk membantu peniaga kecil," katanya.

Azmi berkata, apa yang lebih penting adalah untuk memberikan pendapatan kepada masyarakat setempat yang berminat dalam perniagaan.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya juga mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sewa kepada peniaga di Pasar Awam Seri Langkap, Sungai Tong.

"Bagi membantu peniaga di pasar itu, kita hanya mahu mereka membayar bil air dan elektrik sahaja sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan," katanya kepada TIT.

sumber: The Iman Tribune