MENU

Pembahagian BP adalah berasaskan faktor- faktor fizikal seperti identiti kawasan seperti sempadan mukim, kawasan- kawasan perkampungan, hubungan jalan raya, sungai dan halangan- halangan fizikal yang lain seperti hutan, paya dan persisiran pantai. Ini akan memudahkan kajian dan perancangan kerana beberapa data asas boleh digunakan secara langsung seperti data penduduk mengikut mukim yang dihasilkan daripada Laporan Banci Penduduk, 2000. Ia akan meningkatkan kadar ketepatan maklumat kerana data yang digunakan tidak diolah sebaliknya digunakan secara terus. Selain itu, maklumat guna tanah juga mudah diadaptasi ke dalam kajian ini memandangkan maklumat yang diperoleh daripada jabatan- jabatan teknikal adalah berasaskan kepada daerah dan mukim. Melalui pembahagian blok perancangan ini maka analisis yang akan dijalankan di peringkat teknikal akan lebih tepat dan praktikal. Pembahagian blok perancangan yang dibuat telah membahagikan Daerah Setiu kepada sembilan (9) Blok Perancangan (BP) dan Tiga puluh satu (31) Blok- Blok Perancangan Kecil (BPK). Blok Perancangan dan Blok Perancangan Kecil bagi Rancangan Tempatan Daerah Setiu ini dinyatakan di dalam Jadual 1.3, Jadual 1.4 dan ditunjukkan di dalam Rajah 1.3 :-

1.6 Isu, Masalah Dan Prospek Kawasan Kajian

i. Bilangan penduduk yang rendah serta aktiviti ekonomi yang berasaskan pertanian bercorak tradisional pada amnya kurang menjana peluang- peluang pekerjaan dan mempunyai pulangan yang rendah.

ii. Pembangunan perbandaran adalah agak lembap dan hanya tertumpu di Bandar Permaisuri, Sungai Tong dan Putera Jaya. Kawasan perbandaran ini tidak mempunyai kepelbagaian perkhidmatan menyebabkan kadar pertumbuhan bandar sangat perlahan terutamanya dari segi pertumbuhan perniagaan, kemudahan awam dan infrastruktur serta kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang efektif.

iii. Daerah Setiu mempunyai kawasan sensitif alam sekitar yang luas iaitu 74,034.45 hektar atau 54.5 %. Kawasan ini terdiri daripada kawasan banjir, kawasan hutan, kawasan paya dan persisiran pantai serta kawasan lagun Setiu.

iv. Hutan merangkumi kawasan seluas 58,631.67 hektar iaitu kira- kira 44.95 peratus. Kawasan ini berpotensi dijadikan kawasan pelancongan, pengekalan dan tadahan air.