03 Julai 2025, Khamis – Majlis Daerah Setiu (MDS) dengan kerjasama komuniti setempat telah melaksanakan Program Penanaman Pokok di Pantai Penarik sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Local Agenda 21, yang menekankan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Ahmad Ridzwan bin Abd Rahman,Yang Dipertua MDS, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama dan peranan kerajaan tempatan dalam merangka program berimpak tinggi kepada komuniti.
Sebanyak 200 batang pokok telah ditanam sepanjang kawasan pesisir Pantai Penarik dalam usaha memperindah landskap, memulihara biodiversiti pantai serta mengurangkan kesan hakisan tanah akibat perubahan iklim. Program ini turut melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pelajar, penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar. Turut hadir sama dalam program ini, YBrs. Encik Mohd Rahimee bin Mohd Ramli, Setiausaha MDS serta barisan Ahli Majlis MDS. Majlis Daerah Setiu komited untuk terus memperluaskan pelaksanaan inisiatif hijau seumpama ini sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan mampan daerah, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan di peringkat global.










SETIU DISTRICT COUNCIL, 







