09-609 9377 / 9757 / 9434  09-609 0010

Terengganu Berjaya Hidupkan Tanah Terbiar

Kerajaan negeri berjaya menghidupkan tanah-tanah terbiar dengan beberapa projek tanaman yang membawa pulangan pelaburan jutaan ringgit dan sebahagian besar termasuk dalam kalendar Tahun Pertanian Terengganu 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Projek Penanaman Nanas MD2 merupakan program ke-82 daripada 87 yang dilaksanakan mengikut kalendar Tahun Pertanian Terengganu 2021.

Katanya, daripada 87 program yang dirancang itu hanya satu program yang tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna iaitu sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu kerana melibatkan penyertaan ramai dan tertakluk kepada Prosuder Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari ini, program ke-82 daripada 87 program itu dan akan menyusul selepas ini Program Pecah Tanah Pembinaan Rumah Sembelihan di Rhu Tapai, Marang. Selepas itu, Majlis Pecah Tanah Perumahan Penempatan Semula Nelayan di Pulau Skepeng, Chukai, Kemaman. Disusuli Program Penempatan Semula Nelayan di Seberang Penarik, Setiu dan Program Penempatan Semula Nelayan di Benting Lintang, Besut.

“Maknanya, daripada 87 program yang tersenarai itu kita akan dapat selesai 86 daripadanya dan hanya satu yang kita (kerajaan) tidak boleh hendak buat iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu, kerana ianya melibatkan penyertaan khalayak yang ramai dan tertakluk kepada SOP dan PKP yang ada sekarang ini.

“Ini sebahagian daripada kejayaan Program Pemulihan Tanah Terbiar, setelah kita lancarkan Jawatankuasa Pemulihan Tanah Terbiar pada Mac 2020. Kita telah mengenal pasti tanah-tanah terbiar di negeri Terengganu sekitar 8,000 hektar tanah terbiar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri di Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Kampung Pak Kancil, semalam.

Menurutnya, tanah-tanah terbiar yang ada di daerah Setiu kini seluas 1,200 hektar yang masih boleh dimajukan dengan beberapa projek berasaskan pertanian di negeri ini.

“Ini termasuklah tanah terbiar milik Permint (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) seluas 134 ekar, tanah milik Majlis Daerah Setiu seluas (50 ekar), dan tanah yang kita tambah di bawah Seksyen 62 (KTN) seluas 160 ekar dan menjadi kelesuruhannya 344 ekar yang akan dibangunkan dengan Ladang Nenas MD2 di daerah Setiu.

“Tanah 344 ekar ini adalah keluasan tanah terbesar tanaman MD2 yang pernah dan akan dibuat di negeri Terengganu sebagai satu projek pelaburan terbesar daripada syarikat pelabur swasta dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, syarikat GLC dan Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) Sdn. Bhd.

“Statistik rakyat negeri Terengganu yang berada dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebanyak 70 peratus. Di Setiu pula, rakyat yang berada dalam sektor itu lebih daripada 85 peratus, hanya 15 peratus rakyat kita berada dalam sektor lain,” jelasnya.

Namun, kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, kerajaan tidak melupakan rakyat dalam membangunkan negeri ini dengan projek pertanian tersebut.

“Kita (kerajaan) tidak lupakan rakyat kita, sebab kita telah letakkan satu dasar di bawah Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu. Apa sahaja projek-projek pelaburan dalam sektor pertanian kita tidak mahu rakyat kita hanya jadi buruh dan kuli. Kita mahu mereka juga jadi tuannya.

“Maka, kerana itu diperuntukan 10 peratus daripada keluasan tanah yang kita ada untuk tanaman Nenas MD2, untuk kita libatkan peserta-peserta tempatan.

“Setiu telah diisytiharkan sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Kita telah senaraikan banyak projek-projek sama ada bersaiz mega, bersaiz sederhana atau berskala kecil dengan matlamat dan objektif tersendiri,” ujarnya.

Justeru, kata Dr Azman, jika mahu membantu rakyat dan memajukan daerah Setiu ini bukanlah dengan cara membuat rumah-rumah kedai yang banyak, supermarket atau kilang tetapi lebih kepada projek berasaskan pertanian.

“Pertama, kita ada Projek Mega Tanaman Lada Hitam seluas 500 hektar di Bukit Bidong, Setia oleh sebuah syarikat antarabangsa daripada Amerika. Kedua, projek Pengeluaran Benih Kerapu Hibrik di Limau Nipis, Setiu. Ketiga, projek Induk Pengganda Kambing Tenusu di Kampung Bari, Setiu. Keempat, projek Ternakan Lembu Semi Fidlot di Kampung Pak Kancil, Setiu.

“Kelima, Projek Tanaman Ubi Vitato di Kampung Banggol, Setiu. Keenam, akan dibangunkan projek Jeti Pendaratan Ikan di Sungai Merang, yang akan dibangunkan oleh LKIM dengan nilai RM25 juta. Ketujuh, projek Tanaman Musang King di Kampung Seladang dan Sungai Nering, Setiu dan banyak lagi,” jelasnya.

Menurutnya, agihan tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diagih sudah mencecah ribu lot tanah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dan DUN Permaisuri, Setiu.

Katanya, pemikiran rakyat perlu diupgred sedikit cara berfikir untuk memajukan tanah sebab menjadi tanggungjawab semua sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ialah untuk memakmurkan tanah.


 Sumber : Harakah Daily | https://harakahdaily.net/index.php/2021/12/06/terengganu-berjaya-hidupkan-tanah-terbiar/

Pin It

logoSETIU DISTRICT COUNCIL,
Wisma MDS,
22100 Bandar Permaisuri,
Setiu, Terengganu.

GENERAL LINE : 09-609 9377 / 09-609 9434 / 09-609 9757
HOTLINE : 09-609 0010
FAX : 09-609 9367
e-MAIL : mdsetiu(at)terengganu.gov.my / mdsetiu(at)mds.gov.my

Disclaimer : Setiu District Council is not responsible for any loss or damage incurred from the use of information contained in this Portal.

Portal rasmi Majlis Daerah Setiu

SJPAY SCANNER

privasi

Statistik Pegangan Cukai Taksiran Majlis Daerah Setiu