08 Julai 2025, Selasa – Majlis Daerah Setiu (MDS) telah menganjurkan Kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi selama tiga hari bermula pada 30 Jun hingga 2 Julai 2025, bertempat di Depo Majlis Daerah Setiu. Seramai 12 orang kakitangan daripada Unit Penyelengaraan Aset/Tindakan Khas MDS telah terlibat dalam program latihan ini.
Kursus ini dikendalikan oleh Encik Samsuddin bin Mat Jusoh, seorang tenaga pengajar berpengalaman dari Pusat GIATMARA Hulu Terengganu, yang turut berkongsi kepakaran beliau dalam teknik asas dan lanjutan dalam bidang kimpalan serta fabrikasi logam.
Penganjuran kursus ini adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan kompetensi kakitangan melalui latihan teknikal dan kemahiran, selaras dengan usaha Majlis untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta kecekapan kerja khususnya dalam penyelenggaraan prasarana dan pengurusan aset.
Antara pengisian kursus termasuklah pengenalan kepada teknologi kimpalan, langkah keselamatan, penyediaan bahan, teknik kimpalan arka dan fabrikasi asas. Latihan dijalankan secara teori dan praktikal, membolehkan peserta mengaplikasikan kemahiran secara langsung di lapangan.
Menurut pihak penganjur, kursus seumpama ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal peserta, malah memperkukuhkan keselamatan dan kualiti kerja yang dilaksanakan oleh jabatan.
Majlis Daerah Setiu merakamkan penghargaan kepada Pusat GIATMARA Hulu Terengganu atas kerjasama serta bimbingan tenaga pengajar yang berkaliber sepanjang kursus berlangsung. Diharapkan latihan ini dapat memberi impak positif dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.






MAJLIS DAERAH SETIU, 







